Wednesday, June 11, 2008

Budaya Mencari Ilmu

Ilmu adalah antara wadah terpenting dan amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup tidak kira sama ada di dunia mahupun akhirat. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan mengenai pendidikan umat Islam. Al-Quran diturunkan dengan misi pendidikan yang amat jelas di mana ayat pertama yang disampaikan kepada Rasullah melalui Jibrail ialah surah ‘Iqra’ ayat 1-5 yang bermaksud ‘Bacalah’. Ini jelas membuktikan bahawa membaca merupakan kunci kepada semua pintu-pintu kejayaan dan kebahagiaan. Sikap membaca haruslah dijadikan sebagai amalan dan budaya harian bagi menambah ilmu pengetahuan. Tahap amalan membaca di kalangan rakyat negara ini walaupun semakin meningkat, masih berada pada tahap yang rendah. Laporan kualiti hidup Malaysia yang diterbitkan oleh Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri mendapati, kadar literasi pada 2002 adalah 93.8 peratus, tetapi rakyat Malaysia cuma membaca purata dua judul buku setahun. Alasan tidak membaca ialah tidak berminat, tidak mempunyai masa lapang dan harga buku kian mahal. Kajian terhadap aktiviti kanak-kanak 5 hingga 9 tahun pula menunjukkan 33 peratus masa mereka diluangkan untuk bermain dengan rakan sebaya, 31 peratus menonton televisyen dan video manakala cuma 19 peratus membaca. Lebih menyayat hati lagi, apa yang mereka baca ialah 41 peratus komik, 26 peratus buku dan hanyalah 16 peratus majalah ilmiah dan akhbar.

No comments: