Friday, June 20, 2008

Kualiti Hidup

Kualiti hidup ialah idea mengenai kesempurnaan hidup. Definisi kualiti hidup mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah ‘keadaan hidup yang muncul akibat interaksi antara faktor-faktor ekonomi, sosial, kemasyarakatan, fizikal dan alam sekitar yang mempengaruhi pembangunan masyarakat dan kehidupan manusia’. Laporan ‘Kualiti Hidup Malaysia’ yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri pula mentakrifkan ‘kualiti hidup’ dengan cara yang lebih khusus iaitu sebagai ‘merangkumi kemajuan diri, cara hidup yang sihat, akses dan kebebasan untuk memperoleh pengetahuan, taraf kehidupan yang melebihi keperluan asas individu dan memenuhi keperluan psikologi untuk mencapai tahap kesejahteraan sosial yang setanding dengan aspirasi negara’. Konsep dan definisi yang diberi ini mempunyai dua dimensi kualiti hidup iaitu dimensi objektif dan dimensi subjektif. Konsep kualiti hidup yang subjektif adalah berkaitan dengan perasaan puas hati individu dengan keadaan-keadaan tertentu yang berkaitan dengan faktor yang menyentuh kehidupannya. Konsep kualiti hidup yang objektif pula bermakna pencapaian satu tahap tertentu keperluan hidup dari segi ekonomi, sosial, kemasyarakatan, fizikal, alam sekitar dan lain-lain.

No comments: