Saturday, June 7, 2008

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Proses pendidikan berlaku sepanjang hayat, bermula dari saat seseorang itu dilahirkan sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Pendidikan, pembelajaran dan pengajaran adalah tiga unsur yang saling berkait antara satu sama lain dan seiringan. Tiga unsur ini menjelma dalam aneka corak, bentuk dan kaedah yang meliputi segala bidang dan aspek kehidupan manusia dan proses interaksinya dengan alam dan Pencipta.

Konsep pendidikan sepanjang hayat masih mentah di negara ini kerana sejak sekian lama, kita diterapkan dengan prinsip belajar semata-mata untuk mendapat pekerjaan sehingga bersara. Anggapan pendidikan hanya untuk mendapatkan kerjaya dengan sendirinya telah menyempitkan ilmu pendidikan semata-mata untuk keperluan semasa iaitu untuk memenuhi kehendak-kehendak sektor perniagaan, swasta dan korporat. Ilmu yang ditimba akan bersifat terlalu khusus. Setelah mendapat kerja yang diingini, keinginan seseorang individu untuk belajar dan membina budaya ilmu mungkin akan terbantut. Namun begitu, ekoran daripada perkembangan teknologi dan perubahan persekitaran baru di mana ekonomi berasaskan pengetahuan atau k-ekonomi menjadi keutamaan, konsep pendidikan sepanjang hayat perlu diberi penekanan dalam pembangunan negara dan tidak seharusnya dipandang secara semberono. Contoh yang paling nyata adalah e-dagang yang di perkenalkan pada tahun 1990an, telah membuka lembaran lipatan baru kepada kita. Hal ini kerana, kita bukan sahaja berpeluang membeli-belah, malahan dapat mengiklan, memasar dan memesan barangan atau keperluan yang diingini tanpa membazir masa, tenaga, ruang dan wang. Secara tidak langsung, kualiti kehidupan manusia terjamin.

No comments: